Sunday, June 11, 2006

Amir Muhammad dan Kisah Pelayaran Abdullah

Sememangnya saya sentiasa menantikan kemunculan filem-filem Melayu epik atau apa saja yang mempunyai hubungkait dengan sejarah. Filem 'Dayang' (yang kononnya menggunakan teknologi komputer tercanggih) yang telah memulakan penggambaran pada pertengahan 2004, masih tidak diketahui bila tarikh tayangannya, dah siap ke belum, atau mungkinkah akan mengalami nasib serupa seperti 'Pasir Salak'?
Gembira saya apabila membaca artikel Fathi Aris tentang Amir Muhammad (pengarah filem kontroversi 'Lelaki Komunis Terakhir'). Khabarnya Amir sedang merancang untuk membawa 'Kisah Pelayaran Abdullah' ke layar perak. Di bawah ialah sedikit daripada petikan artikel tersebut.

"..Dia sekarang sedang berfikir untuk mendokumentasikan Kisah Pelayaran Abdullah(siap 1849), olahan kembali karya besar Munshi Abdullah, khususnya perjalanan tokoh ini ke Kelantan dan Terengganu pada tahun 1838. Walaupun diolah daripada catatan perjalanan sebenar dan dianggap satu fakta sejarah, rakaman ini tidak dirancang diadakan di dua negeri di Pantai Timur ini.

Filem yang diilhamkan daripada Kisah Pelayaran Abdullah akan dirakam di Peru selama kira-kira sebulan pada Disember tahun ini. Kenapa Peru?

"Kalau kita gali bumi (lurus) dari Kelantan atau Terengganu, (kalau tembus) kita akan sampai ke Peru," katanya. Peru dipilih kerana negara ini antipode (jarak terjauh yang bertentangan di atas muka bumi) dengan dua negeri ini.

Katanya, ilham untuk meneroka karya Munshi Abdullah datang sewaktu beliau membikin Lelaki Komunis Terakhir. Apakah mungkin kontroversi sekali lagi apabila Munshi Abdullah ditafsir belayar ke Peru? Jawapannya kini di tangan Amir..." -UmmahOnline

Musykil juga, apa sebenarnya maksud tersirat Amir apabila menjawab persoalan 'kenapa Peru'. Apa pun, saya menghargai minat dan usaha Amir yang tak jemu untuk menerbitkan filem yang sudah pasti tiada nilai komersial seperti ini.
Buku 'Kisah Pelayaran Ibrahim Munshi' telah lama berada di rak buku saya, menantikan giliran untuk dibaca. (Ibrahim Munshi ialah anak kepada Munshi Abdullah).

No comments: